Wednesday, September 22, 2010

RASUAH

Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terdapat 4 kesalahan rasuah yang utama seperti :
i) Meminta/Menerima Rasuah
ii) Menawar/Menerima Rasuah
iii) Membuat Tuntutan Palsu
iv) Menyalahguna Jawatan/Kedudukan
Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.
Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititiberatkan dalam apa juga urusan.
Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini, seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah RA. Ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum-menghukum”.
Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan mereka ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Pemberian dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.
Allah telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. (Al-Baqarah: 188 )
PUNCA BERLAKUNYA RASUAH
Antara punca berlakunya rasuah ialah:
i) Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.
ii) Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.
iii) Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran seperti hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.
iv) Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga meningkat. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.
v) Politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.
KESAN-KESAN RASUAH
Antara kesan-kesannya ialah:
i) Menghakis kepercayaan orang awam terhadap golongan cerdik pandai Negara kita.
ii) Pemerintahan menjadi lemah kerana kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya.
iii) Pentadbiran Negara menjadi kucar-kacir.
iv) Kemerosotan ekonomi akan berlaku.
v) Pengabaian kepentingan masyarakat akan berlaku.
vi) Negara tidak aman dan damai.
CADANGAN MEMBANTERAS MASALAH RASUAH
Antara cadangan-cadangannya ialah:
i) Semua rakyat haruslah sedar dan insaf bahawa rasuah adalah penyakit yang boleh merosakkan Negara.
ii) Tidak bekerjasama dengan pemberi atau penerima rasuah dan sentiasa mengikut peraturan atau undang-undang Negara bagi mendapatkan sebarang hak.
iii) Memberikan hukuman yang maksima kepada mereka yang melibatkan diri dengan rasuah.
iv) Menaikkan gaji atau memberi insentif kepada kakitangan penguatkuasa undang-undang agar dapat mengelakkan penglibatan rasuah disebabkan kesempitan wang.
v) Tidak memilih pemimpin yang berkepentingan peribadi.
vi) Prihatin terhadap rakyat serta menggunakan saluran atau undang-undang yang betul dan tepat untuk mendapatkan sesuatu hak.
vii) Menampal poster atau risalah “Bersama mencegah rasuah” di merata tempat seperti pejabat kerajaan, swasta, Balai Polis, Hospital, sekolah dan tempat awam.

Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama berusaha dan bekerjasama mencegah rasuah agar penyakit ini dapat dibendung serta memberi kesedaran yang meluas di kalangan rakyat Negara ini agar wawasan Negara untuk menjadikan Negara maju diambang 2020 dapat dicapai dan meningkatkan produktiviti Negara serta mengharumkan Negara kita Malaysia yang bersih dari gejala rasuah.

NUR SHAHIRA BINTI IBRAHIM
198207

No comments:

Post a Comment