Tuesday, September 21, 2010

MENCURI DAN MEROMPAK


           Pada 5/1/2007, suatu kes rompak dan rogol yang melibatkan dua orang mangsa dan empat orang perompak telah berlaku di Johor Bahru. Si perompak telah mengugut si mangsa dengan menggunakan pisau dan kemudiannya membawa kereta si mangsa di sekitar Pasir Gudang selama kira-kira sejam, sebelum berhenti di suatu semak dan merogol si mangsa wanita.  Manakala pada 11/6/2007, sepasang kekasih telah dirompak semasa perjalanan mereka dari Pontian ke Johor Bahru. Mereka dikejar oleh empat orang perompak dan akibatnya si mangsa lelaki mengalami cereda parah akibat ditetak oleh si perompak yang ganas. Si mangsa wanita pula diperkosa oleh perompak-perompak tersebut.  Semasa berlakunya kes pada 11/6/2007, pihak polis telah melengah-lengahkan proses pelaporan dan tidak menghiraukan si mangsa. Dalam kes 5/1/2007 pula, maruah si mangsa terpijak dan kederitaannya diulangi untuk kali kedua melalui cara pengambilan kenyataan saksi yang tidak profesional. Kejadian di atas telah mendedahkan kelemahan polis yang tidak dapat menjalankan tugas secara professional. Abang kepada si mangsa kejadian kes 11/6/2007 telah banyak kali cuba menghubungi dan meminta tolong daripada pihak polis. Namun, pihak polis telah menolak permintaan tersebut dengan memberi sebab bahawa kejadian itu berlaku di tempat tidak tertakluk kepada cawangan polis tersebut. Ini telah menyebabkan si mangsa gagal mendapat bantuan dan akhirnya ditetak oleh si penjenayah. Apabila sampai di hospital pula, pihak hospital enggan memberi rawatan kepada si mangsa atas sebab kenyataan polis belum diambil. Ini mengakibatkan si mangsa diseksa oleh kesakitan dan kederitaan.  Di antara tahun 2004 dan 2006, pihak polis telah mengemukakan sejumlah lapan perintah yang mewajibkan semua anggota polis untuk memperbaiki keadaan “tidak menerima laporan polis daripada orang awam”. Maka, melalui kejadian di Johor Bahru, ternyata bahawa pihak polis telah mengingkari perintah tersebut
                Kejadian-kejadian di atas cuma merupakan sebahagian kecil kes yang dapat menggambarkan keadaan keselamatan orang awam yang semakin terancam. Menurut laman web Polis Diraja Malaysia, dalam 5 tahun yang lepas, kadar kes jenayah semakin meningkat. Pada tahun lepas, terdapat 42,343 kes jenayah yang berlaku di Malaysia, termasuk kes rompak, bunuh dan sebagainya. Antaranya, 2,435 kes merupakan kes rogol.  Lantaran itu, sekumpulan badan-badan masyarakat sivil telah melahirkan kebimbangan mereka terhadap kes-kes rompak dan rogol yang berlaku secara semakin kerap dan berterusan kebelakangan ini. Kes-kes keganasan ini bukanlah kejadian terpencil, sebaliknya merupakan bukti nyata bahawa keselamatan orang awam semakin tergugat.  Semua pihak dalam negara ini mengharapakan agar  mereka dapat hidup dalam persekitaran yang aman damai dan keadaan yang bebas daripada ketakutan. Hak asasi ini termaktub dengan jelas di dalam Artikel 3 Piagam Hak Asasi Manusia Sedunia (Universal Declaration of Human Rights,1948).
              Keadaan keselamatan dalam negeri yang semakin merosot bukan sahaja akan mengancam orang awam serta harta benda mereka, tetapi juga akan menjejas imej negara Malaysia di mata dunia dan pelaburan daripada luar negara.


 FAKTOR – FAKTOR  BERLAKUNYA MASALAH INI.
1. Keluarga
Nilai murni kekeluargaan hari ini juga sudah banyak punah dek kerana ibu bapa sibuk bekerja mencari rezeki dan tidak menumpukan perhatian terhadap kualiti kehidupan berkeluarga dan anak-anak. Walaupun usaha murni ibu bapa adalah untuk memberi kesenangan kepada anak-anak dan keluarga, namun pembentukan sahsiah diri anak-anak perlu diberi perhatian. Jika ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak yang ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan tidak bimbang untuk melakukan jenayah dan kegiatan tidak sihat di rumah sendiri atau di kawasan persekitaran rumah seperti menagih dadah, menonton video lucah dan mencuri sebagainya.
2. Kewangan
Banyak jenayah dan masalah sosial yang dilakukan remaja hari ini disebabkan oleh soal kewangan kerana keinginan anak-anak muda hari ini semakin meningkat untuk menggunakan barangan mewah bagi menunjukkan status diri mereka di kalangan rakan-rakan sebaya. Tidak semua anak-anak remaja ini lahir dari keluarga berada dan mampu menikmati kemewahan hidup. Bagi remaja dari keluarga susah, mereka mudah terikut-ikut rakan-rakan yang mewah tetapi soalnya bagaimana mereka mendapatkan sumber kewangan tersebut. Sudah tentu dengan melakukan jenayah dan kegiatan tidak bermoral seperti mencuri, merempit, melacur, mengedar dadah dan menyimpan barangan curi untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kehendak hidup mereka yang mewah.
3. Kemasyarakatan
Masyarakat hari ini sudah kurang peka dan banyak buat 'pekak' terhadap nilai hidup kejiranan dan bermasyarakat. Struktur pembinaan perumahan hari ini juga banyak mempengaruhi gaya hidup masyarakat yang negatif. Kondominium dan pangsapuri mewah mementingkan gaya hidup individualistik. Rumah-rumah banglo pula diiklankan dengan gaya hidup berfokuskan keselamatan yang berlebihan seperti guarded and gated agar tidak diganggu penjenayah. Sedar atau tidak, masyarakat kita telah membina jurang hidup secara manual dengan jiran dan masyarakat setempat.
 4. Keagamaan
Iman dan amal yang lemah terhadap agama menjadikan remaja hari ini tidak mampu berfikir mengenai perbuatan buruk yang mereka lakukan. Pegangan agama yang longgar dan tiada tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa menjadi punca masalah sosial ini berterusan. Dengan itu, ibu bapa, ahli masyarakat, guru dan pemimpin perlu berusaha membantu anak-anak remaja hari ini daripada terus menerus melakukan kegiatan yang tidak bermoral.

1. Prosedur membuat laporan polis dan penyisatan kes oleh pihak polis harus dikaji semula. Penyelarasan antara cawangan-cawangan Polis harus diperbaiki untuk mengelakkan mana-mana anggota polis daripada berdolak-dalih, dan juga untuk mengurangkan penderitaan mangsa-mangsa kes jenayah yang sering diakibatkan oleh cara pengendalian pihak polis yang kurang profesional.
2. Ibu pejabat polis negara bersama dengan cawangan-cawangannya di seluruh negara harus memperbaiki mekanisme bagi melenyapkan kegiatan kongsi gelap di negara ini.
3. Memupuk kesedaran di kalangan pihak polis terhadap hak-hak wanita, kanak-kanak serta hak asasi manusia.
4. Menetapkan agenda pengawalan kejadian kes jenayah di peringkat negara. Angka statistik kejadian kes jenayah, kawasan kejadian kes jenayah, dan analisis punca-punca kes jenayah harus diumumkan berkala supaya kejadian kes jenayah dapat dikawal secara sistematik.
5. Pihak kerajaan harus membentuk Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis(Independent Police Complaints and Misconduct Commission, IPCMC)demi menyelesaikan masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan polis, sebagaimana yang dicadangkan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (Suruhanjaya Diraja Polis) yang dikeluarkan pada 6/5/2005.
6. Pihak Polis harus memandang serius serta melaksanakan cadangan-cadangan lain yang telah dikemukakan dalam laporan Suruhanjaya Diraja Polis, serta sentiasa mengumumkan perkembangan terkini dan hasil daripada agenda pembaharuan polis.



ZARWATULHANA BINTI EDDIE
200051

No comments:

Post a Comment