Tuesday, September 21, 2010

PEMBUANGAN BAYI


Malaysia dengan bangganya menuju ke alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi. Namun kita lupa dengan perkembangan sosial di negara ini. Saban hari, terdapat laporan bayi yang dijumpai di dalam tandas, tepi longkang, tempat pembuangan sampah dan lain-lain tempat tanpa ada sedikit pun perasaan perikemanusiaan. Pembuangan bayi ini merupakan satu jenayah yang terjadi akibat kehamilan yang tidak diingini. Tatkala ingin menyembunyikan perbuatan dusta itu, ramai remaja yang mengandung di luar nikah sanggup membuang bayi dengan harapan diberi peluang menjalani kehidupan baru. Mereka terdesak akibat malu dan takut akan akibat yang bakal ditanggung. 

Dalam hal ini, tidak boleh dinafikan lagi bahawa kekurangan didikan agama merupakan antara sebab utama kes pembuangan bayi berlaku. Biasanya golongan remaja adalah golongan yang terlibat dalam kes pembuangan bayi. Mereka hilang haluan kerana kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup dalam kehidupan, lalu  mereka terlibat dalam gejala negatif, antaranya ialah pergaulan bebas. Remaja yang terlibat dalam pergaulan bebas akan menjalinkan hubungan di luar tabii dan menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum berkahwin. Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat- tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya.

Selain itu, masalah kes pembuangan bayi berlaku juga disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Hal ini kerana pada usia muda, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka dan yang bertambah teruk  apabila mereka bergaul dengan rakan sebaya yang negatif. Rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma maysarakat, contohmya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuangkan bayi mereka.
 
Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku. Masalah ini seharusnya diketengahkan dan diselesaikan dengan menjalankan langkah-langah yang efektif sebelum keadaannya menjadi lebih teruk lalu menggugat masa depan negara. Dalam hal ini, semua pihak haruslah bekerjasama dan menggembleng tenaga untuk menyelesaikan masalah ini kerana bak kata peribahasa Melayu, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Ekoran itu, ibu bapa adalah watak utama dalam mencorakkan sahsiah anak-anak mereka. Masalah pembuangan bayi ini pasti dapat ditangkis sekiranya wujud kesedaran dan rasa tanggungjawab dan masyarakat dengan mengambil tahu serta cuba membanterasnya seterusnya wujudnya masyarakat yang bersifat penyayang.

NUR FARHANA BINTI AB GHAPAR
198076

No comments:

Post a Comment